X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Pikul dua tugas lebih efektif

Dell Akbar pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya minggu lalu. - Foto Bernama
A
A

BADAN Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya telah menggariskan 10 cadangan penambahbaikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengembalikan semula ‘ngauman’ Harimau Malaya.

Salah satu cadangan yang dilontarkan badan siasatan bebas itu yang dipengerusikan oleh Datuk Dell Akbar Khan ialah pemansuhan jawatan pengurus pasukan.

Sebaliknya, badan berkenaan mencadangkan ketua jurulatih turut bertanggungjawab menggalas portfolio sebagai pengurus pasukan.

Cadangan itu bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong mahupun pengkritik bola sepak tempatan, malah turut menarik perhatian Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Bagi Presiden PJBM, B Sathianathan, beliau berpandangan cadangan itu akan memberikan kelebihan buat jurulatih untuk mengatur sebarang perancangan dengan lebih teliti tanpa sebarang gangguan pihak lain.

Malah, beliau tidak melihat portfolio sebagai pengurus itu akan membebankan jurulatih berkenaan memandangkan tugas kedua-dua jawatan berkenaan dilihat hampir sama yang mana ia melibatkan aspek teknikal pasukan.

“Saya setuju dengan cadangan ketua jurulatih dilantik sebagai pengurus pasukan. Kalau kita lihat negara-negara kuasa besar bola sepak sebenarnya sudah buat perkara itu lama, cuma kita yang agak ketinggalan.

“Jika dilihat skop kerja seorang pengurus, individu itu kena pastikan segala perancangan pasukan berjalan lancar. Jadi apa yang saya lihat tugasan tersebut tidak banyak beza dengan kerja seorang jurulatih.

“Ia juga sangat bagus untuk jurulatih itu sendiri bagi membuat perancangan untuk pasukannya. Ia seolah-olah kita beri kuasa sepenuhnya kepada jurulatih untuk menentukan pemilihan pemain, venue latihan dan sebagainya.

“Sebab kadang-kadang kalau terlampau ramai orang yang bagi arahan, ia boleh mengelirukan dan merencat perancangan pasukan itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sathianathan turut menyambut baik cadangan badan siasatan bebas itu dengan memperkenalkan jawatan ketua delegasi bagi tugas-tugas yang melibatkan majlis formal.

Dengan wujudnya jawatan tersebut, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban yang dipikul oleh ketua jurulatih yang turut memegang jawatan pengurus pasukan.

“Seingat saya dulu ketika zaman Allan Harris jadi jurulatih merangkap pengurus, FAM ada wujudkan jawatan ketua delegasi. Antara yang pernah pegang jawatan itu ialah Tan Sri Elyas Omar dan Tan Sri Ibrahim Saad.

“Mereka yang dilantik hanya akan terlibat untuk majlis-majlis rasmi dan tidak terlibat dalam aspek teknikal. Jadi tugas jurulatih akan tertumpu kepada aspek teknikal sahaja,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!