Lapor aktiviti bom ikan

Ahmad melakukan pelepasan benih ikan di perairan umum Sungai Batang Padang, di sini pada Isnin.
Ahmad melakukan pelepasan benih ikan di perairan umum Sungai Batang Padang, di sini pada Isnin.
A
A
A

TAPAH - Orang ramai perlu melapor sebarang aktiviti menangkap ikan terutama di sungai yang menggunakan kaedah dilarang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kaedah seperti menuba dan menggunakan bom boleh memberi kesan terhadap populasi dan spesis ikan sungai sedia ada yang menjadi mata pencarian nelayan darat.

Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Perikanan sendiri menerima laporan dan aduan daripada kumpulan nelayan mengatakan banyak aktiviti pengeboman ikan telah dilakukan.

"Sekiranya kegiatan ini terus berlaku, dikhuatiri boleh menyebabkan spesis ikan pupus dan populasi ikan berkurangan.

"Jadi kalau boleh buatlah laporan supaya pihak berkuasa dapat ambil tindakan kepada mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

"Kita pun ada mewujudkan pasukan pemantau yang membuat rondaan secara berkala, dengan harapan kehadiran pasukan ini sekurang-kurangnya dapat menakutkan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum Sungai Batang Padang di Kampung Dusun Muda di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Noraishah Hashim.

Dalam majlis itu, lebih 10,000 benih ikan daripada spesis lampam dan terbul dilepaskan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, sebanyak 5 juta benih ikan air tawar pelbagai spesis antaranya kelah, temoleh, kelisa dan baung akan dilepaskan secara berperingkat di sungai-sungai di Perak, tahun ini.

Katanya, berdasarkan kajian dan tinjauan didapati populasi ikan asli di negeri ini semakin menurun satu daripadanya disebabkan pencemaran dan kehadiran ikan asing.

"Mengikut statistik pendaratan ikan Perak pada 2020, lebih 3,000 tan ikan sungai didaratkan dengan nilai RM45 juta.

"Kita berharap dengan usaha dilakukan Jabatan Perikanan ini akan dapat memperkayakan semula ikan asli di perairan umum Perak bagi manfaat kepada lebih 3,000 nelayan darat di negeri ini," katanya.