Tiga lelaki pecah masuk pasar raya dicekup

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh(tengah) menunjukkan antara peralatan digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti memecah masuk sebuah pasar raya di Telok Panglima Garang pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh(tengah) menunjukkan antara peralatan digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti memecah masuk sebuah pasar raya di Telok Panglima Garang pada Khamis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tiga individu diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah pasar raya di Telok Panglima Garang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, ketiga suspek diberkas merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 26 hingga 40 tahun.

"Polis sebelum itu menerima laporan daripada pengurus pasar raya berkenaan berkaitan kejadian.

"Barang-barang yang hilang berupa dua unit kamera litar tertutup (CCTV), sejumlah wang di dalam tabung dan wang tunai RM15,000 di dalam sebuah peti besi seberat 500 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Ridhwan berkata, bertindak atas maklumat, operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.45 malam berjaya memberkas suspek pertama di sebuah rumah di Kampung Sri Jangkang di sini pada hari yang sama.

"Hasil soal siasat yang dijalankan kemudiannya berjaya memberkas dua lagi suspek di sekitar lokasi sama antara jam 12.20 hingga 2.30 pagi pada Jumaat.

"Polis juga berjaya menemui semula barang milik pengadu dan sejumlah barangan disyaki hasil daripada kegiatan pecah rumah," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati ketiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mendapati kumpulan penjenayah ini aktif dalam melakukan jenayah sejak dua bulan lalu.

"Antara kes yang berjaya diselesaikan melibatkan kes pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang, pecah kedai butik, pecah pasar raya, pecah kedai runcit, pecah kedai peralatan rumah," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.