Jangan bimbang tinggalkan rumah: Polis

Mohd Shuhaily (kiri) mendengar penerangan dari pegawai bomba ketika mengadakan tinjauan di lokasi kebakaran pada Isnin.
Mohd Shuhaily (kiri) mendengar penerangan dari pegawai bomba ketika mengadakan tinjauan di lokasi kebakaran pada Isnin.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Penduduk yang diarahkan berpindah sementara susulan kualiti udara tercemar di kawasan kediaman mereka tidak perlu bimbang dengan keselamatan rumah masing- masing.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis yang bertugas, Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Kereta Peronda (MPV) Daerah Seberang Perai Selatan akan membuat rondaan berkala di kawasan perumahan penduduk yang telah diarahkan berpindah.

"Penduduk yang diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak perlu bimbang dengan rumah mereka kerana anggota bertugas akan sentiasa membuat rondaan secara berkala di kawasan terlibat.

"Ia bagi memastikan keselamatan rumah penduduk terjamin selain tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya dalam satu kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang pada Isnin.

Sebelum itu, Mohd Shuhaily membuat tinjauan ke lokasi kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini.

Dalam laporan Sinar Harian pada Isnin, majoriti penduduk di sekitar Kampung Kebun Baru dan Kampung Ladang Byram akur untuk berpindah selepas arahan pemindahan dikeluarkan.

Menurut mereka, arahan itu perlu dipatuhi demi keselamatan penduduk dan ahli keluarga berikutan udara di kawasan terbabit disahkan tercemar dan berbahaya.

Tambah mereka, kejadian berkenaan merupakan yang terburuk sepanjang tinggal di situ sehingga arahan berpindah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk berdekatan supaya tidak membuat sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka dengan sengaja.

"Sekiranya dikesan oleh pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang. Patuhi undang-undang sekiranya tidak mahu tindakan tegas dikenakan," tegasnya.