PGA kerah aset banteras seludup mercun

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengerahkan sepenuhnya anggota dan aset untuk membanteras sindiket penyeludupan mercun sempena musim perayaan yang semakin hampir.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya akan menjalankan operasi pemantauan secara berterusan untuk mengesan aktiviti penyeludupan oleh sindiket terbabit.

"Kita akan buat full deployment membabitkan semua pasukan kita.

"Saya beri amaran kepada pihak sindiket kerana dalam apa keadaan pun kita akan teruskan operasi 24 jam, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak sindiket tidak menyimpan stok mercun yang diseludup terlalu lama di satu tempat untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya mengesan banyak bekalan mercun seludup berkenaan datang dari Johor.

"Sindiket ini akan bawa masuk dan simpan sementara dalam gudang dan dia akan edar secara cepat.

"Stor utama ini tak akan simpan lama, dia akan edarkan cepat-cepat ke seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada selasa melaporkan kejayaan PGA Briged Tengah merampas 98 kotak mercun dan rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM509,350 di Kampung Pasir Rasah, Seremban di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan mercun di Rantau Panjang, Kelantan membabitkan rampasan sebanyak 3,970kg mercun dalam sebuah stor sejuk beku ayam dipercayai bekalan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.