Bekas Penolong Setiausaha Pengakap Melaka didakwa pecah amanah

Ahmad Danial (kanan) diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Ahmad Danial (kanan) diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 30 pertuduhan membabitkan pecah amanah bernilai RM63,400.

Tertuduh, Ahmad Danial Osman, 32, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka telah dengan curangnya menyalahgunakan harta Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan RM63,400 demi kepentingan diri sendiri.

Wang tersebut merupakan bayaran sewaan untuk tiga premis milik persatuan itu dan kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar negeri Melaka antara 15 Oktober 2015 hingga 30 Januari 2018 lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia menghidap kencing manis kronik selain tidak bekerja.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melaporkan diri sekali pada setiap bulan di pejabat SPRM.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan tarikh 14 Februari depan sebagai sebutan semula kes.