Jualan Gudang Karangkraf 2022 kembali

Poster Jualan Gudang Karangkraf 2022
Poster Jualan Gudang Karangkraf 2022
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2022 kini kembali dan bakal menjadi hentian setempat dan 'syurga' kepada peminat buku tempatan bagi mendapatkan pelbagai genre bahan bacaan berkualiti tinggi pada harga serendah RM1.

Penolong Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziana Omar berkata, tawaran diskaun kepada pengunjung juga diberikan sehingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Tambahnya, jualan gudang tersebut bermula dari 21 hingga 30 Januari ini yang bertempat di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

“Kebiasaannya jualan gudang akan dilaksanakan tiga kali setahun, dan selepas dua tahun tidak dilaksanakan ia bakal memberi tawaran lebih banyak kepada pengunjung.

“Jualan buku serendah RM1 masih ada dan semua buku, al-Quran, alat tulis, novel dan buku sekolah ada diskaun yang memang hanya dapat di jualan gudang,” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin,

Dalam pada itu, Roziana berkata, sempena pembukaan sekolah yang bermula hari ini (Isnin), mereka juga menawarkan diskaun alat tulis kepada pengunjung.

Pada masa sama, mereka menjual al-Quran wakaf memandangkan ramai di kalangan rakyat Malaysia mencari kitab tersebut untuk diwakafkan selepas banjir melanda baru-baru ini.

“Al-Quran semua ada tawaran diskaun termasuk al-Quran yang ingin diwakafkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kelainan jualan gudang kali ini, Roziana berkata, pengunjung akan mendapat tawaran diskaun lebih tinggi dan mereka juga dapat menebus air kopi dan penyediaan pembayaran tanpa tunai (cashless).

“Di jualan gudang kali ini, pada hari biasa akan beroperasi dari 9 pagi hingga 7 malam manakala pada hari minggu dari 9 pagi hingga 9 malam.

“Kali ini, kita akan buat sampai malam pada hari minggu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pengunjung yang datang pasti akan lebih selesa untuk membeli buku.

“Pengunjung yang pernah datang pastinya tahu kemudahan kami sediakan sepanjang acara ini di mana ruang pameran yang berhawa dingin memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Bukan sahaja selesa, ruang parkir kereta juga disediakan dan kaunter pembayaran yang banyak disediakan supaya memudahkan pengunjung melakukan pembayaran tanpa menunggu lama.

“Bagi yang ingin solat juga tidak perlu risau kerana di Karangkraf terdapat surau yang besar dan selesa untuk digunakan,” ujarnya.