Rancangan Bicara Fail Syariah dilancarkan

Idris (tengah) pada Majlis Pelancaran Rancangan Bicara Fail Syariah.
Idris (tengah) pada Majlis Pelancaran Rancangan Bicara Fail Syariah.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama melancarkan rancangan Bicara Fail Syariah yang akan ditayangkan menerusi TV Alhijrah untuk memberi kesedaran serta informasi berkaitan isu-isu perundangan syariah dan kekeluargaan Islam dalam negara.

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, rancangan itu merupakan kolaboratif antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan TV Alhijrah.

Tambahnya, dalam rancangan tersebut membincangkan isu pernikahan, penceraian, wasiat, faraidh termasuk isu keganasan rumah tangga.

“Hasrat saya agar persembahan rancangan ini lebih santai dan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat.

“Pada masa sama, lain-lain isu perundangan syariah juga akan dibincangkan untuk meleraikan kekusutan yang ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Isnin.

Dalam pada itu, Idris berkata, TV Alhijrah perlu menjadi gerbang (one-stop centre) kepada ilmu dan maklumat yang sahih berkaitan agama Islam.

“InsyaAllah, hari ini adalah siaran pertama dan saya amat berharap masyarakat dapat mengambil manfaat melalui program ini.

“Terima kasih kepada TV Alhijrah dan JKSM yang merealisasikan hasrat kita bersama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata Idris, seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk menonton Bicara Fail Syariah setiap hari Isnin jam 9.30 malam.

“Moga ALLAH SWT memberkati kita semua. Amin,” katanya.