Permohonan pengambilan pekerja asing dalam talian tidak lama lagi

Saravanan
Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian bagi proses pengambilan pekerja asing untuk setiap sektor pekerjaan yang dibenarkan dari negara sumber tidak lama lagi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau akan membuat pengumuman mengenai tarikh permohonan dalam talian itu boleh dibuat dalam masa terdekat.

"Dalam hal ini, saya ingin menasihatkan pihak majikan agar tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan tersebut, untuk mengelakkan daripada berlakunya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lalu, bersetuju pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain daripada sektor perladangan iaitu pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan serta perkhidmatan domestik.

Saravanan turut mengingatkan majikan yang ingin menggajikan warga asing agar mengemukakan permohonan sendiri dan berdasarkan kepada keperluan sebenar pekerja asing.

Majikan yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta juga perlulah memastikan bahawa agensi tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, katanya.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa semua kemasukan pekerja asing perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 pada 14 Disember 2021.

SOP tersebut merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pascakuarantin. - Bernama

Artikel Berkaitan: