Saya tidak pernah terfikir mengenainya: Harith Danial

Harith Danial - Foto Google
Harith Danial - Foto Google
A
A
A

MEMPUNYAI sebuah gelanggang skuasy di bekas sekolah rendahnya, bukanlah suatu yang pernah terfikir oleh pemain skuasy remaja, Harith Danial Jefri.

Namun Harith Danial berkata, beliau berasa amat berbangga atas penghormatan yang telah diberikan kepadanya pada 5 Januari lalu apabila gelanggang skuasy di Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang, Miri yang sebelum ini tidak mempunyai nama, kerana gelanggang itu merupakan tempat beliau mula-mula bermain skuasy.

“Saya rasa gembira tetapi perasaan yang bercampur juga, kerana saya tidak pernah menjangkakan yang mereka akan namakan gelanggang skuasy atas nama saya, dan saya berasa bangga kerana dapat capai kejayaan ini pada usia muda.

“Saya mula berlatih di sana pada usia lapan tahun dan ia bermula pada ketika saya perlu memilih aktiviti kokurikulum dan ia (skuasy) merupakan satu-satunya aktiviti dalam dewan, jadi saya pilihnya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada permulaan kariernya, Harith Danial berlatih di bawah naungan jurulatih Jewan Singh Chal dan pada masa ini beliau yang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil berlatih di bawah jurulatih kebangsaan Jess Tay.

Pemain berusia 16 tahun itu berkata, beliau kini sedang bersedia untuk menyertai Kejohanan Remaja Kebangsaan yang akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil dari 24 hingga 28 Januari.

“Saya bekerja keras untuk pertingkatkan lagi skil saya bagi memenangi gelaran itu, dan terus berusaha setiap hari dan tidak akan putus asa,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: