38 pasukan berentap rebut kejuaraan ACPLJ 2021/22

Zakry mengetuai cabaran Kelab Badminton Seremban City dalam saingan ACPLJ 2021/22.
Zakry mengetuai cabaran Kelab Badminton Seremban City dalam saingan ACPLJ 2021/22.
A
A
A

SAINGAN Purple League diteruskan lagi kali ini dengan AEON Credit Purple League Junior 2021/22 (ACPLJ) yang bermula di Melaka minggu ini selepas tamat saingan kategori Pro-Am penghujung tahun lalu.

Sebanyak 38 pasukan mengesahkan penyertaan mereka untuk edisi kali ini menjadikannya sebagai jumlah terbesar untuk pertandingan kategori remaja yang telah dianjurkan sejak 2015 oleh Malaysia Purple League (MPL), menyaksikan bagi edisi kali ini, dua kategori dipertandingkan iaitu bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong, beliau tidak sabar untuk menyaksikan persembahan mantap dari pemain remaja di seluruh negara untuk edisi kali ini.

Menurutnya, “Kebanyakan pemain bertanding masih lagi di bangku sekolah menengah dan ini adalah peluang terbaik untuk mereka merasai pengalaman beraksi di pentas yang kompetitif.”

Antara pasukan yang akan bertanding ialah Kelab Badminton Seremban City (SCBC) dan juga Kelab Badminton Melaka City (MCBC) yang akan membuat penampilan sulung pada pertandingan ini.

Sementara menurut pengurus pasukan SCBC, Zakry Abdul Latif, “Pasukan kami telah melakukan persiapan selama dua bulan untuk ACPLJ. Kami juga mendapat kudrat pemain yang berpengalaman di peringkat negeri untuk membantu pasukan muncul juara.”

Bagi pendatang baru MCBC, mereka juga melaungkan amaran awal supaya tidak dipandang rendah oleh pasukan lain. Kata pengurus pasukan Shahidi Shahidan, beliau percaya pasukannya mampu mencipta kejutan untuk saingan kali ini.

“Kami mampu untuk mengejutkan pasukan yang lain. Saya percaya dengan kemampuan dan potensi pemain-pemain kelahiran Melaka mampu membawa kami melepasi peringkat kumpulan.”

Artikel Berkaitan:

Kelab bandaraya bersejarah itu dijadual menentang WCBF Sibu dan Petaling Jaya BC di dalam kumpulan A untuk kategori bawah 15 tahun manakala pasukan bawah 18 tahun mereka akan berdepan cabaran Sentosa United BC dan DSBC Labuan.

SCBC pula diletakkan di dalam kumpulan C bersama Perling FC dan Mentakab FC untuk kategori bawah 15 tahun. Pasukan bawah 18 tahun mereka pula menerima cabaran dari JBBC dan Damansara BC.

Saingan ACPLJ dibahagikan kepada tiga pusingan peringkat kumpulan yang akan diadakan mengikut zon Selatan, Tengah dan Utara bermula 8 hingga 9 Januari di Smazh Premium Outlet, Melaka, 15 hingga 16 Januari di Sixbase Sport Arena, Kampar dan 22 hingga 23 Januari di Tops Arena Empire, Cheras.

Empat pasukan teratas setiap kumpulan pula akan berentap pada pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 Februari depan.