Jari budak tersepit di eskalator: JKKP keluar notis larangan operasi

Pihak teknikal membantu mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan yang tersepit pada eskalator sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Jumaat lalu.
Pihak teknikal membantu mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan yang tersepit pada eskalator sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan mengambil keterangan pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah dan syarikat penyelenggara bagi menyiasat insiden kaki seorang kanak-kanak perempuan tersepit ketika menggunakan eskalator, pada Jumaat lalu.

Pengarah JKKP Kelantan, Abdul Aziz Salim berkata, JKKP serta-merta mengarahkan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit supaya menghentikan operasi eskalator yang terlibat dalam insiden itu.

Katanya, sepasukan penyiasat dari JKKP Kelantan menjalankan siasatan berhubung kemalangan membabitkan mangsa yang berusia empat tahun itu.

“JKKP mengeluarkan notis larangan operasi eskalator tersebut kepada pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

“Penutupan bagi membolehkan siasatan dijalankan dan setakat ini pihak pengurusan dan syarikat selenggara tersebut dipanggil ke pejabat JKKP Kelantan untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atau Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Tindakan perundangan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran.

“Selain notis henti operasi bagi eskalator yang terlibat, eskalator-eskalator lain di pusat beli-belah itu diarahkan supaya dilakukan pemeriksaan terhadap aspek keselamatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menasihatkan kepada ibu bapa supaya mengawasi anak-anak kecil ketika menggunakan eskalator.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kanak-kanak perempuan tersebut bersama ibu bapanya menaiki eskalator dari aras bawah ke tingkat satu pusat beli-belah itu.

Apabila sampai di hujung eskalator tersebut, secara tiba-tiba kaki kiri kanak-kanak berkenaan tersepit sebelum eskalator itu terhenti secara automatik.

Kanak-kanak terbabit dibantu sehingga kakinya berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan pada jari kelengkeng dan tengah serta dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan.