118 anggota, pesara polis terjejas banjir

Tinjauan di Jalan Gombang, Jalan Lenga, Kampung Saujana Batu 29 dan Kampung Jawa, mendapati beberapa laluan masih digenangi air. - Foto Bernama (Gambar kecil: Baharudin)
Tinjauan di Jalan Gombang, Jalan Lenga, Kampung Saujana Batu 29 dan Kampung Jawa, mendapati beberapa laluan masih digenangi air. - Foto Bernama (Gambar kecil: Baharudin)
A
A
A

PUCHONG - Seramai 118 anggota serta pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian sebanyak RM500,000 akibat banjir yang melanda di beberapa negeri baru-baru ini.

Penaung Kelab Skuad 1/87, Datuk Seri Dr Baharudin Abu berkata, kesemua mangsa berkenaan terlibat banjir besar yang melanda beberapa negeri antaranya Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor dan beberapa buah negeri lain.

"Kesemua mangsa ini merupakan anggota dan pesara polis yang merupakan ahli Kelab Skuad 1/87 yang bernaung di bawah Persatuan Bekas Polis Malaysia Wilayah Persekutuan.

"Daripada jumlah itu, seramai lapan anggota serta pesara polis yang dikenal pasti mengalami kerugian yang tinggi antaranya melibatkan kemusnahan rumah serta harta benda dan mereka diberikan bantuan wang tunai berjumlah RM3,000," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Baharudin berkata, pihaknya mengambil inisiatif dengan mengumpul dana daripada kesemua ahli di bawah Kelab Skuad 1/87.

"Antara mangsa banjir ini, selain pesara, ada yang masih berkhidmat sebagai anggota polis, dan keseluruhan harta benda mereka telah musnah sekali gus memerlukan bantuan untuk memulakan semula hidup baharu.

"Prihatin dengan nasib yang dialami, kami membantu dari segi bantuan kelengkapan dapur, kelengkapan persekolahan dan wang tunai," katanya.

Menurut Baharudin, buat masa ini pihaknya masih mendapatkan maklumat lanjut berkaitan ahli lain yang terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya terdapat ramai lagi ahli lain yang terlibat banjir kali ini, data kita sedang kumpulkan.

"Buat masa ini, bantuan diberikan secara berperingkat dan menfokuskan kepada mangsa yang terjejas teruk terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Kelab Skuad 1/87, katanya, kelab ini terdiri daripada anggota polis yang memasuki perkhidmatan pada Januari 1987.

"Kelab ini ditubuhkan sejak 35 tahun lalu dan mempunyai 700 ahli di seluruh Malaysia," katanya.