FRAM akan kemuka cadangan reformasi perundangan

FRAM menyatakan solidariti di luar perkarangan Istana Kehakiman terhadap salah seorang ahlinya yang mengemukakan rayuan bagi meluangkan lebih banyak masa bersama anaknya pada Jumaat. (Gambar kecil: Fernandez)
FRAM menyatakan solidariti di luar perkarangan Istana Kehakiman terhadap salah seorang ahlinya yang mengemukakan rayuan bagi meluangkan lebih banyak masa bersama anaknya pada Jumaat. (Gambar kecil: Fernandez)
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) akan mengemukakan satu cadangan reformasi perundangan melibatkan hak penjagaan sama rata antara ibu dan bapa terhadap anak-anak.

Presidennya, Malcolm Fernandez berkata, cadangan itu akan dikemukakan minggu hadapan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Kita nak satu reformasi perundangan dari segi hak kanak-kanak, hak bapa dan hak ibu yang sama rata.

“Agak menghairankan bahawa walaupun terdapat satu evolusi reformasi perundangan dari segi hak atau isu-isu perceraian dan isu-isu hak jagaan seluruh dunia, malangnya di Malaysia pihak-pihak yang kononnya berjuang untuk hak kanak-kanak berdiam diri.

“Kenapa mereka berdiam? sebab mereka mempunyai agenda sendiri. Kita boleh melihat berapa banyak negara yang telah memperkenalkan hak jagaan bersama bertentangan dengan hak jagaan yang menjadi amalan di mahkamah-mahkamah sekarang (iaitu) mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar perkarangan Istana Kehakiman pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata, cadangan yang dikemukakan itu melibatkan kebaikan mempunyai hak penjagaan sama rata kepada ibu bapa.

“Kertas kerja tersebut juga mengandungi kajian-kajian daripada pakar-pakar psikologi yang telah menyatakan faedah dan manfaat hak penjagaan bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cadangan itu turut melibatkan draf pindaan terhadap perundangan yang perlu dipinda.

“Kita juga akan memberikan contoh-contoh negara yang beralih kepada sistem sebegini,” jelasnya.

Fernandez pada masa sama turut menegaskan, sekiranya tidak mendapat sebarang reaksi selepas mengemukakan cadangan tersebut daripada menteri yang terlibat, pihaknya akan mengadakan lebih banyak perhimpunan tentang hak penjagaan sama rata.

“Kami akan mengadakan perhimpunan di seluruh negara dan itulah janji saya, janji FRAM kepada semua ayah-ayah yang bertungkus-lumus di luar sana.

“Kami FRAM akan bersama dengan anda dan kami akan pergi ke setiap mahkamah apabila anda ada kes bagi memberi sokongan padu,” jelasnya.