Tambah baik SOP jemaah pulang umrah

Mohd Ali Sabri (tengah) ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya di Meru Raya, Ipoh.
Mohd Ali Sabri (tengah) ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya di Meru Raya, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Persatuan Pengendali Umrah Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk jemaah yang pulang mengerjakan umrah.

Presidennya, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, cadangan itu bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 menjadi tidak terkawal dalam kalangan jemaah.

"Antara cadangan yang dikemukakan ialah menjadikan hotel-hotel di bawah pentadbiran Tabung Haji (TH) sebagai tempat kuarantin bagi jemaah yang baharu pulang dari umrah.

"Selain itu, kita juga mencadangkan agar jemaah dikecualikan daripada melakukan ujian calitan pada hari kelima kerana mereka telah pun dikuarantin serta mewajibkan dos penggalak kepada semua jemaah umrah," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Meru Raya di sini pada Khamis.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyediakan ‘Rapid On Site Covid Testing’ di balai ketibaan atau terminal ketibaan di mana ujian saringan itu perlu dibuat sebaik sahaja jemaah keluar dari pesawat.

"Kaedah itu sekiranya KKM tidak mengiktiraf ujian calitan polymerase Chain Reaction (PCR) yang dibuat di Arab Saudi sebelum kepulangan jemaah.

"Jika diguna pakai, proses ujian calitan menjadi lebih pantas dan dapat mengelakkan arahan kuarantin secara menyeluruh kepada semua jemaah," katanya.

Mohd Ali Sabri berkata, jemaah sepatutnya di kuarantin di suatu kawasan di balai ketibaan selama 10 minit hingga dua jam sahaja bagi menunggu keputusan 'Rapid On Site Covid Testing'.

Artikel Berkaitan:

"Jika jemaah disahkan positif dijangkiti Covid-19, maka mereka hendaklah mengikut SOP kuarantin di hotel atau pusat kuarantin yang ditentukan kerajaan, manakala bagi jemaah yang negatif pula, mereka hendaklah dibenarkan kuarantin di rumah mengikut prosedur sebelum ini," katanya.

Tambahnya, bagi jemaah dari negeri ini, kerajaan Perak dicadangkan untuk menjadikan beberapa hotel di bawah seliaan anak syarikat kerajaan negeri untuk dijadikan tempat kuarantin bagi jemaah yang negatif, manakala mereka yang positif pula, tempat kuarantin ditentukan kerajaan.

Menerusi laporan media Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan penangguhan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan penularan jangkitan Covid-19 di Arab Saudi terutama membabitkan varian Omicron.