Kerajaan tanggung kos kuarantin jemaah umrah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan menanggung kos urusan kuarantin termasuk makan, minum dan pengangkutan dari lapangan terbang bagi jemaah umrah yang pulang dari tanah suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, bagi penempatan kuarantin yang diurus kerajaan, individu bawah pengawasan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditempatkan di hotel atau Pusat Latihan Awam bergantung ketersediaan bilik pada hari ketibaan.

“Kita faham ramai jemaah yang risau akan kos tambahan dan mungkin tidak selesa apabila dikuarantin nanti.

“Jemaah umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta (rujuk hotel yang disenaraikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.

“Tempoh kuarantin adalah seperti yang ditetapkan KKM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan, senarai pusat kuarantin untuk jemaah di Stesen Kuarantin Institut Latihan Awam (QS ILA) melibatkan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai; Institut Aminuddin Baki (IAB), Nilai; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi; Institut Semarak Felda (ISEF), Bangi; Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi dan Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.

Tambahnya, bagi Stesen Kuarantin Hotel pula melibatkan Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (Hotel Royal; Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang; Hotel IBIS, KLCC; Hotel Furama, Bukit Bintang; Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade; IBIS Style KL Fraser Business Park; Hotel AnCasa; Hotel Cosmo; Hotel KIP dan Hotel Arena Star).

“Di Selangor membabitkan Hotel Sama-sama; Hotel Gorsett Grand, Subang; Hotel Crystall Crown, Petaling Jaya; Hotel Sunway Clio; Hotel Hilton Garden Inn, Puchong; Hotel Oriental Crystal; Hotel Summit, USJ dan Hotel Pegasus, Shah Alam,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: