Majlis konvokesyen UPM dilaksana dengan SOP ketat

Sebahagian daripada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memenangi hadiah Universiti bergambar kenangan pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 Tahun 2022 di UPM hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian daripada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memenangi hadiah Universiti bergambar kenangan pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 Tahun 2022 di UPM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Seramai 5,695 graduan pelbagai pengajian Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menerima skrol ijazah dan diploma masing-masing secara fizikal pada Majlis Konvokesyen ke-44 yang berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata antara SOP yang akan dilaksanakan sepanjang enam hari majlis konvokesyen berlangsung bermula Sabtu ini ialah hanya 900 graduan dibenarkan berada di dalam Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, berbanding 4,000 orang kapasiti sebenar.

"Kami menetapkan hanya graduan dibenarkan berada di dewan berlangsungnya majlis konvokesyen itu, manakala ibu bapa atau keluarga pelajar hanya boleh menghantar dan mengambil graduan di dewan itu," katanya.

"Untuk ibu bapa yang datang dari jauh, UPM menyediakan beberapa dewan untuk mereka berada di sana sementara menunggu sesi anak mereka selesai. Di dewan tersebut, turut disediakan penstriman langsung untuk mereka mengikuti sesi konvokesyen anak mereka," katanya pada sidang akhbar mengenai majlis konvokesyen tersebut, di sini pada Jumaat.

Mohd Roslan berkata, majlis konvokesyen ke-44 itu adalah yang pertama UPM adakan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada awal 2020, melibatkan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang).

"Bagi mencegah penularan Covid-19 sepanjang berlangsungnya majlis, UPM hanya mengadakan majlis pengurniaan ijazah pada sesi pagi, bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada waktu petang untuk sesi konvokesyen berikutnya," katanya.

Mohd Roslan berkata, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Sultan Selangor akan mengurniakan PhD, sarjana, sarjana muda dan diploma kepada graduan pada sesi kelima Rabu depan (12 Januari).

Dalam sesi itu, baginda juga berkenan memasyhurkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Artikel Berkaitan:

Baginda juga berkenan mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan (Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian) Fakulti Sains; Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil (Bacelor Sains Hortikultur) Fakulti Pertanian dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera) kepada Chow Heng Yee (Bacelor Sains Pembangunan Manusia) Fakulti Ekologi Manusia.

Pro Canselor UPM, Syed Jalaludin akan menyampai pingat pada sesi pertama (8 Januari) iaitu Pingat Emas Alumni kepada Lim Jia Yie (Bacelor Pengurusan Alam Sekitar) Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar; Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Michelle Tiong Chia Weng (Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)) Fakulti Pengajian Pendidikan; dan Pingat Putra Agribio kepada Muhammad Ali Imran Razali (Doktor Perubatan Veterinar) Fakulti Perubatan Veterinar.

Syed Jalaludin juga akan menyampaikan Pingat Razlan Putra kepada Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (Bacelor Sains Pembangunan Manusia) Fakulti Ekologi Manusia; Anugerah Keusahawanan Pengusaha Stesen Shell kepada Ijlali Husna Alias (Bacelor Pendidikan (Sains Rumahtangga)) Fakulti Pengajian Pendidikan; Anugerah Tun Abdul Razak kepada Chow Heng Yee (Bacelor Sains Pembangunan Manusia) Fakulti Ekologi Manusia.

Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals kepada Farhatun Najat Maluin (PhD Nanoteknologi) Institut Nanosains dan Nanoteknologi; Pingat Emas Master Dengan Thesis kepada Sanchez Philip Donald Cabuga (Master Sains Agricultural Process Engineering) Fakulti Kejuruteraan; Pingat Emas BasNet Doktor Falsafah kepada Dr Nor Sa'adah Jamaluddin (PhD Curriculum and Instruction) Fakulti Pengajian Pendidikan dan Hadiah Syed Kechik kepada Fatimah Marwa Jaapar (Bacelor Sains Biokimia Dengan Kepujian) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

Mohd Roslan berkata, majlis konvokesyen itu juga menyaksikan pengijazahan bagi program sulung Master Keusahawanan apabila seramai 11 graduan akan bergraduat pada sesi pertama (8 Januari).

Beliau berkata, antara atlet yang akan bergraduat pada konvokesyen itu ialah Syed Syafiq Syed Cholan (hoki); Nur Fatihah Mohammad Tahir (menembak); Mohamed Farhan Hafsyam Zahid (olahraga); Priyashankari Hari Sankar (karate); Muhamad Hafzan Bakri Md Roni (ragbi); Dzafran Asyraf Zainuddin (ragbi) dan Muhammad Kamal Ishak (sepak takraw). - Bernama