Pemuda guna papan iklan cari jodoh

Muhammad Malik 'mengiklan' dirinya sendiri di papan iklan gergasi untuk mencari bakal isteri. - Foto: Agensi
Muhammad Malik 'mengiklan' dirinya sendiri di papan iklan gergasi untuk mencari bakal isteri. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Seorang pemuda di Britain nekad 'mengiklankan' dirinya sendiri di papan iklan gergasi demi untuk mencari bakal isteri.

Birmingham Live melaporkan lelaki berketurunan Pakistan, Muhammad Malik, 29, dari London turut menghasilkan laman web Findmalikawife.com dan membeli beberapa papan iklan dengan harapan untuk bertemu bakal pasangan hidupnya.

Usahawan berusia 29 tahun itu turut berseloroh 'iklan' tersebut dapat menyelamatkannya daripada perkahwinan diatur keluarga.

"Saya masih belum menemui gadis sesuai. Saya terpaksa menggunakan kaedah ini," ujarnya menerusi laman web yang direka khas itu.

Difahamkan, Malik turut menetapkan kriteria wanita idamannya termasuk seorang Muslim berusia dalam lingkungan 20-an.

"Saya terbuka untuk menerima bakal isteri daripada etnik lain namun keluarga saya berpegang kuat kepada tradisi dan agama. Oleh itu, saya perlu mengekalkannya," jelasnya.

Sejak wajahnya terpapar di papan iklan pada Sabtu, Malik mendakwa dia telah menerima ratusan mesej.

"Saya belum sempat membaca kesemuanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, dia pernah mencuba beberapa kaedah lain termasuk aplikasi temu janji untuk mencari bakal permaisuri hidupnya sebelum idea 'mengiklankan diri' itu dicadangkan oleh seorang temannya.

"Saya individu kreatif dan suka mencuba perkara yang mungkin dianggap tidak masuk oleh segelintir individu," katanya.

Papan iklan tersebut akan dipaparkan sehingga Jumaat depan. - Agensi