'Saya tak tahu kenapa saya tak didakwa bersama Najib'

Azmi, Najib
Azmi, Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Saya tidak tahu kenapa saya tidak didakwa bersama Najib,” kata bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Azmi Tahir, 49, berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Menjawab soalan daripada peguam, Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib, saksi pendakwaan ke-12 itu bersetuju bahawa sehingga ke hari ini tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya.

“Saya hanya dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ini oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jadi saya sendiri tidak boleh beri jawapan mengapa mereka tidak dakwa saya.

“Selain saya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak didakwa di mahkamah,” katanya.

Hariharan: Adakah anda tahu, ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low berdepan lapan pertuduhan kes jenayah?

Azmi: Secara asasnya, dia ada dituduh.

Hariharan: Walaupun dia tiada jawatan dalam 1MDB, tetapi dia tetap didakwa?

Artikel Berkaitan:

Azmi: Saya tak tahu pasal maklumat itu secara terperinci.

Hariharan: Selain Jho Low, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Terence Geh Choh Heng didakwa pecah amanah berhubung pemindahan AS$125 juta kepada syarikat di bawah kawalan Jho Low, Good Star, manakala bekas Peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan bagi kes pengubahan wang haram (AMLA).

Azmi: Saya tak tahu kenapa saya tidak dituduh sedangkan mereka pula yang kena.

Hariharan: Tetapi anda adalah selaku CFO, Terence Geh pula timbalan.

Azmi: Saya tak tahu, mungkin dia buat sesuatu yang lebih daripada yang sepatutnya dia buat.

Pada 16 Ogos tahun lalu, media melaporkan 1MDB dan empat anak syarikatnya telah menggugurkan tujuh daripada 15 defendan dalam tuntutan mahkamah AS$8 bilion terhadap bekas pemegang jawatan syarikat-syarikat tersebut.

Antara yang digugurkan daripada saman itu ialah bekas Pengarah Bukan Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; bekas Pengarah, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, serta bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir.

1MDB memfailkan saman itu Mei lalu bersama 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (dahulunya 1MDB Global Investments Ltd), 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Energy Ltd.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Prosiding bersambung pada Khamis.