Pengarah kejuruteraan tak mengaku dapatkan suapan, palsukan dokumen

Muhamad Tarmymy (dua dari kanan) berbincang dengan peguamnya sebelum masuk ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.
Muhamad Tarmymy (dua dari kanan) berbincang dengan peguamnya sebelum masuk ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan membabitkan kesalahan mendapatkan suapan bagi saudaranya dan pemalsuan dokumen dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Tarmymy Che Ani, 41, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh menggunakan jawatan itu untuk mendapatkan suapan bagi ahli keluarga sendiri dengan mencadangkan syarikat Sagur Ria Enterprise yang dimiliki bapa dan adiknya kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah Darul Aman.

Cadangan itu bagi menjalankan kerja-kerja menurap dan menyelenggara jalan di Taman Tiram, Kulim berjumlah RM200,000 di di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman pada 12 Disember 2019.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 5 Disember 2019 di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen yang bertarikh 27 November 2019 yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, pada 26 Disember 2019 di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, tertuduh dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan

Harga, Peruntukan Projek Marris Tahun 2019 Fasa 2 Majlis Perbandaran Kulim bertarikh 27 November 2019 yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Artikel Berkaitan:

Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Muhamad Tarmymy yang diwakili peguam, M Puveneswaran memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM20,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan kerana tertuduh menyara seorang isteri dan mempunyai seorang anak selain menjaga seorang ibu berusia 70-an yang diserang strok.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin daripada ahli keluarga tertuduh dan menetapkan serahan dokumen serta tarikh sebutan kes pada 9 Februari ini.

Muhamad Tarmymy membayar wang jaminan tersebut di Kaunter Pembayaran Kompleks Mahkamah Alor Setar dan mengemukakan seorang penjamin ahli keluarga.