Labur RM1bilion bina kilang pemasangan kereta elektrik di Jasin

Razmi Shah (dua,kanan) menyerahkan replika kunci kereta kepada Sulaiman (dua,kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Razmi Shah (dua,kanan) menyerahkan replika kunci kereta kepada Sulaiman (dua,kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SYARIKAT Bumiputera, Fieldman EV Sdn Bhd (FEV) bakal melabur kira-kira RM1bilion bagi pembinaan sebuah kilang pemasangan kereta elektrik di kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang, Jasin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kilang yang akan dibangunkan di kawasan seluas 200 hektar bakal menyediakan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, syarikat itu telah berjaya mendapat hak ekslusif pengedaran kereta elektrik di negara ini dan pasaran Asia Tenggara bagi pemanduan sebelah kanan 'Right Hand Drive' dari syarikat otomotif negara China, iaitu Changan Automobile Corporation.

"Syarikat FEV berhasrat untuk melancarkan kereta elektrik serta berminat untuk membina kilang pemasangan di Melaka bersama syarikat syarikat tempatan dengan bantuan teknologi syarikat Changan.

"Kerajaan Negeri Melaka amat mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat ini yang bakal memberikan manfaat jangka panjang dengan memantapkan lagi perkembangan industri automatif di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan kereta elektrik dan beca elektrik daripada syarikat Fieldman EV Sdn Bhd kepada kerajaan negeri oleh Pengarah Eksekutifnya Razmi Shah Othman di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha ini juga akan mewujudkan industri hiliran dalam kalangan industri automatif tempatan, pemindahan teknologi kereta elektrik serta meningkatkan lagi ekonomi Melaka.

Artikel Berkaitan:

"FEV telah membuat pelan jangka panjang untuk tempoh tujuh tahun bermula tahun2018 hingga 2026. Mereka bakal menerajui perkembangan teknologi dan pemasangan kereta elektrik di Melaka," katanya.