PRU15: UMNO disaran anjur kongres khas bersama NGO Melayu

Mohd Yussof
Mohd Yussof
A
A
A

GEORGETOWN - UMNO dicadang menganjurkan satu kongres khas dengan Persatuan-Persatuan Melayu di seluruh negara bagi mendapat semula sokongan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dengan menganjurkan kongres khas itu supaya dapat mendengar suara hati badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu dan menerima cadangan, pandangan, teguran dan kritikan daripada orang Melayu secara keseluruhannya.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan dan pandangan dalam kongres itu demi kepentingan agama, bangsa dan negara serta kemakmuran, kesejahteraan, dan kebahagiaan seluruh rakyat Malaysia.

“Para pemimpin UMNO harus bersikap terbuka dan hapuskan sikap 'warlord' dalam parti kerana masih ramai orang-orang Melayu yang tidak menyertai mana-mana parti-parti politik masih sayang dan masih menyokong UMNO seandainya para pemimpin UMNO bersungguh-sungguh dan ikhlas menunjukkan perubahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohd Yussof berkata, sebagai orang lama dan antara yang bersama-sama dengan UMNO sejak tahun 1946 lagi, beliau ikhlas dan terbuka menyatakan bahawa UMNO mula tergelincir dari landasan perjuangan asalnya sejak tahun 1988 lagi.

Jelasnya, UMNO sebagai parti keramat telah direla oleh pemimpin UMNO sendiri ketika itu untuk diharamkan oleh mahkamah bagi menubuhkan UMNO baru yang berniat menjadikan UMNO dimiliki oleh mereka sendiri.

"Imej UMNO kemudiannya menjadi bertambah buruk apabila beberapa pemimpinnya pula terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah dan seterusnya UMNO dianggap bukan lagi dikuasai oleh akar umbi UMNO tapi dikuasai oleh pemimpin-pemimpinnya dengan bermula mengamalkan politik wang.

"Saya percaya UMNO kini memerlukan suntikan semangat perjuangan asal penubuhannya pada tahun 1946 supaya UMNO muncul kembali sebagai juara dalam perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Yussof berkata, harus diingat UMNO diasaskan dan ditubuhkan hasil Kongres Kebangkitan Bangsa Melayu menerusi kehadiran 41 buah Pertubuhan-Pertubuhan Melayu termasuk perwakilan pelajar di seluruh negara pada tahun 1946.

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan orang Melayu pada masa itu telah berjaya menguburkan Gagasan Malayan Union serta mengembalikan kedaulatan raja-raja Melayu dan berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

"Sehubungan itu, amat wajar UMNO berusaha bagi menganjurkan semula kongres khas dengan semua NGO-NGO Melayu sebagai usaha menyediakan platform untuk berinteraksi dengan masyarakat Melayu secara keseluruhannya dengan hasrat bagi memperbaiki segala kelemahan yang sedang dihadapi.

"Para pemimpin UMNO harus hentikan sikap 'kita lebih tahu' kerana keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 telah memberi isyarat yang jelas bahawa 'rakyat lebih tahu'," katanya.