Wanita baru melahirkan dua hari, terpaksa berpantang di PPS

Situasi terkini Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air berikutan limpahan Sungai Muar hari ini. -Foto Bernama
Situasi terkini Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air berikutan limpahan Sungai Muar hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Seorang ibu yang baru melahirkan anak keempatnya pada Ahad lepas tidak menyangka akan berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah mentuanya di Felda Maokil di sini terjejas akibat banjir.

Nur Aleeza Ahmad, 33, berkata, beliau dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS Dewan Semai Bakti Felda Maokil kira-kira jam 12 tengah hari Isnin setelah rumah mentuanya dinaiki air sehingga paras buku lali berikutan hujan lebat berterusan.

“Memang sudah boleh dijangka air akan naik, tetapi mujur saya sempat memasukkan barang keperluan bayi ke dalam beg sebelum pergi ke PPS menaiki kenderaan sendiri bersama suami Mohd Saiful Razlan, 34.

“Susah juga dengan keadaan (berpantang) macam ini di PPS...anak ketiga pula demam tetapi apa pun kami bersyukur dan harap hari ini sudah boleh pulang ke rumah,” kata suri rumah itu kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu di sini pada Selasa.

Ibu kepada tiga anak lelaki dan seorang bayi perempuan berusia dua hari yang dilahirkan di Hospital Segamat itu berkata, suami dan ahli keluarganya yang lain membantunya menguruskan bayi termasuk memandikan, berikutan pergerakan Nur Aleeza yang agak terbatas di PPS itu.

“Saya berpantang seperti biasa di PPS dan akan makan hidangan yang lebih banyak sayur dan tidak pedas yang disediakan di PPS ini,” katanya yang gembira dan bersyukur kerana dikurniakan anak perempuan kali ini.

Sementara itu, ibu mentuanya, Norlida Sangidi, 60, berkata, ini merupakan pertama kali beliau perlu menjaga menantu dan cucu di PPS.

Norlida berkata, banjir kali ini bagaimanapun tidak seteruk yang berlaku pada 2012 sehingga air naik ke paras dada.

Artikel Berkaitan:

PPS berkenaan kini menempatkan seramai 42 orang daripada 12 keluarga.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kediaman penduduk Felda Maokil mendapati banjir telah surut sepenuhnya, bagaimanapun mereka masih belum dibenarkan pulang sebagai langkah berjaga-jaga. - Bernama