Pakistan, India ke meja rundingan tamatkan ketegangan

Penunjuk perasaan Pakistan membakar poster Perdana Menter India, Narendra Modi susulan ketengangan di wilayah Kashmir.
Penunjuk perasaan Pakistan membakar poster Perdana Menter India, Narendra Modi susulan ketengangan di wilayah Kashmir.
A
A
A

ISLAMABAD - PAKISTAN. Delegasi Pakistan berlepas ke India hari ini untuk mengadakan perbincangan, susulan pertikaian yang tercetus antara dua negara jiran itu.

Perbincangan itu antara lain akan menumpukan mengenai deraf perjanjian koridor Kartarpur, yang akan menyediakan akses tanpa visa kepada komuniti Sikh India melawat tempat suci di Pakistan.

Delegasi Pakistan diketuai oleh jurucakap Kementerian Luar, Mohammad Faisal.

“Kami berharap inisiatif Perdana Menteri, Imran Khan bukan hanya untuk memudahkan komuniti Sikh, terutamanya dari India, malah ia juga diharap dapat menamatkan konflik antara kedua-dua negara,” kata Faisal.

Rundingan itu diadakan di Attari, sebuah kampung di India kira-kira 3 kilometer dari sempadan di Wagah.

Hubungan dua negara jiran Asia Selatan itu menjadi keruh berikutan serangan pengebom bunuh diri di Kashmir yang dikuasai India pada pertengahan Februari lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 tentera India terkorban.

Ketegangan terus meruncing apabila tentera kedua-dua pihak mendakwa telah menembak jatuh pesawat tentera masing-masing.

Sebelum ini, seteru kuasa nuklear itu telah melalui tiga peperangan iaitu pada 1948, 1965 dan 1971 sejak perpecahan pada 1947. - Agensi

Artikel Berkaitan: