Lebih 10 juta dokumen kerajaan, GLC terjejas akibat banjir

Kakitangan Jabatan Arkib Negara melakukan pemuliharaan terhadap rekod yang terjejas akibat banjir di RMC Jabatan Imigresen. FOTO Bernama
Kakitangan Jabatan Arkib Negara melakukan pemuliharaan terhadap rekod yang terjejas akibat banjir di RMC Jabatan Imigresen. FOTO Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Arkib Negara (ANM) menggerakkan Pasukan Tindakan Bencana Rekod bagi membantu jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyelamatkan dokumen rekod yang ditenggelami air akibat banjir khususnya di Selangor dan Pahang.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, dianggarkan lebih 10 juta rekod telah ditenggelami oleh banjir dengan sebahagian besarnya masih boleh diselamatkan melalui kerja-kerja pemuliharaan rekod terbabit.

“Sebahagian besar daripada rekod ini masih boleh diselamatkan lagi dengan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan antaranya melalui kaedah pengasingan, pembersihan dan pengeringan dengan menggunakan peralatan tertentu serta bersesuaian dengan rekod yang terlibat dengan banjir,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sebelum itu, Dr Noor Zari melakukan tinjauan di Pusat Pengurusan Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Seksyen 23 di sini yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini.

Sehingga kini, pihak ANM telah mengadakan lawatan Khidmat Nasihat dan Bantuan Pemuliharaan Rekod di lebih 50 jabatan kerajaan dan GLC yang ditimpa bencana itu.

“Usaha ini akan diteruskan dan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat boleh berhubung dengan ANM dan kita bukan hanya membantu menyelamatkan dokumen, tapi ia juga satu proses pendidikan kepada agensi kerajaan sekiranya berlaku keadaan seperti ini apakah tindakan perlu diambil,” katanya.

Antara rekod dikenal pasti ditenggelami banjir kali ini adalah rekod berkaitan dengan pentadbiran antara rekod peribadi seperti Buku Rekod Perkhidmatan; rekod berkaitan dengan pesakit antaranya Rekod Lawatan Pesakit, Rekod Rawatan Kanak-kanak, Buku Daftar Ibu Mengandung; rekod kewangan dan perakaunan iaitu Baucar Bayaran, Borang Perubahan Gaji; bahan bercetak seperti Resit Kewangan dan rekod permohonan Kemasukan dan Borang Permohonan Pasport Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihak JIM menganggarkan tempoh dua ke tiga minggu diperlukan untuk kerja-kerja menyelamatkan rekod dan dokumen Pusat Pengurusan Rekod JIM dengan bantuan ANM.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan data dan maklumat JIM disimpan dalam bentuk soft copy (dalam talian), dan dokumen yang ada di pusat ini adalah dokumen perlu disimpan termasuk untuk tujuan perundangan sekiranya diperlukan,” katanya.

Hanya Pusat Pengurusan JIM terlibat dengan banjir setinggi kira-kira 0.3 meter (satu kaki) baru-baru ini, manakala tempat-tempat JIM yang lain masih terselamat. - Bernama