Bintang Brazil Ronaldo positif Covid-19

Ronaldo - Foto Reuters
Ronaldo - Foto Reuters
A
A
A

RONALDO, pemenang Piala Dunia dua kali, tidak dapat menyertai sambutan ulang tahun ke-101 Cruzeiro, kelab Brazil kepunyaannya, selepas disahkan dijangkiti Covid-19.

Bintang bola sepak berusia 45 tahun itu hanya mengalami gejala ringan tetapi akan berehat dan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan protokol kesihatan, kata Cruzeiro pada Ahad, menurut Xinhua.

"Cruzeiro mengumumkan pada Ahad bahawa Ronaldo Nazario didapati positif Covid-19," menurut kenyataan kelab bola sepak itu.

"Oleh itu, mustahil beliau menghadiri Belo Horizonte bagi merayakan sambutan itu."

Acara itu khusus diadakan sempena penampilan umum Ronaldo buat pertama kali setelah beliau membeli Cruzeiro dengan pegangan majoriti bernilai 400 juta reais (sekitar AS$70 juta) pada bulan lepas.

Bekas penyerang itu memulakan kariernya di Cruzeiro pada 1993, menjaringkan 56 gol dalam 58 perlawanan di semua pertandingan bagi pasukan Belo Horizonte sebelum berpindah ke PSV Eindhoven pada Julai 1994.

“Ronaldo kesal kerana tidak dapat menyertai aktiviti yang dirancang itu, tetapi kami akan mengumumkan jadual baharu sempena penampilannya di Belo Horizonte,” tambah kenyataan itu.

Ronaldo, yang juga pemilik kelab Sepanyol, Real Valladolid bersara pada 2011 selepas melakar karier cemerlang dengan Barcelona, ​​Inter Milan dan Real Madrid.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjaringkan 62 gol dalam 98 perlawanan untuk Brazil dan merupakan ahli pasukan kebangsaan kempen Piala Dunia 1994 dan 2002. - Bernama