Banjir: Selangor sedia tambah aset hadapi gelombang kedua

Kerajaan Selangor bersedia menambah aset sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di negeri tersebut. - Gambar hiasan
Kerajaan Selangor bersedia menambah aset sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di negeri tersebut. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersedia untuk menambah aset sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di negeri tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bencana yang diadakan pada Jumaat berbincang berhubung persediaan awal menghadapi bencana tersebut.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut membincangkan tentang kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan sumbangan kepada mangsa banjir kini berjalan lancar.

Amirudin berkata, agensi dan jabatan berkaitan turut diberi peringatan untuk bersedia dari segi kelengkapan dan aset untuk menghadapi kemungkinan bencana sama atau lebih buruk daripada yang berlaku pada Disember lalu.

“Kita juga mengingatkan kepada semua jabatan dan agensi berkaitan untuk membuat persediaan awal dari segi aset, kelengkapan, kemungkinan gelombang kedua yang boleh berlaku seperti kejadian sebelum ini.

“Kita belajar daripada pengalaman lalu, dan kita perlu bersedia dari segi pertambahan aset untuk persediaan masa depan.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Selangor Memohon Kesejahteraan dan Keberkatan ALLAH SWT Menjelang Tahun 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Seksyen 14, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan sebanyak 3,000 individu mula menerima Bantuan Selangor Bangkit dan yakin pengagihan sumbangan tersebut selesai menjelang akhir Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, rancangan pemulihan bagi institusi lain seperti institusi pendidikan, masjid, surau dan sektor lain yang terkesan akibat banjir akan menyusul selepas sumbangan itu disampaikan kepada semua mangsa banjir.

“Begitu juga dengan hal isi rumah. Misalnya, rumah-rumah yang musnah di Hulu Langat sahaja ada 31 buah yang roboh dan hilang.

“Kita sedang kira dan perlukan sokongan, tapi kita selesaikan bantuan itu (Bantuan Selangor Bangkit) dulu kerana jumlahnya besar,” katanya.