Pemuda UMNO bukan penghasut rakyat: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menegaskan bahawa mereka tidak pernah menghasut rakyat berhubung isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebaliknya hanya ingin berjuang menuntut hak dan tuntutan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka hanya memperjuangkan nasib rakyat terutamanya mereka yang terdesak untuk memohon pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000.

“Saya dan Pemuda UMNO hanya memperjuangkan #TuntutanRakyat dan mengangkat suara mereka yang susah dan terdesak memohon pengeluaran kali terakhir KWSP RM10,000, bukannya penghasut rakyat!” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyelar pihak tertentu yang sibuk menghasut rakyat berkaitan pengeluaran simpanan KWSP.

Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada Ketua Pemuda UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang giat memperjuangkan isu pengeluaran wang dalam KWSP i-Citra sebanyak RM10,000.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, kemudahan pinjaman yang disediakan menerusi beberapa agensi, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun, terutama kepada mangsa banjir akan menambah beban hutang orang ramai.

Beliau menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai inisiatif berhutang yang tidak akan menyelesaikan masalah.

Artikel Berkaitan: