Dua kontena jadi penempatan sementara

Tangkap layar hantaran Facebook Muhyiddin pada Rabu.
Tangkap layar hantaran Facebook Muhyiddin pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Skuad Prihatin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyumbang dua unit kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga mangsa banjir di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkongsi perkara itu di Facebook beliau pada Rabu berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

“Alhamdulillah sumbangan dua unit kontena yang saya umumkan semalam untuk dijadikan penempatan sementara bagi dua buah keluarga mangsa banjir di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat telah ditunaikan.

“Satu unit kontena telah dihantar petang semalam dan satu lagi hari ini,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Skuad Prihatin Bersatu akan meneruskan misi bantuan di seluruh negara dengan menumpukan kepada pembersihan rumah dan pemberian bantuan barangan makanan harian, peralatan dapur serta barangan bayi dan kanak-kanak.

“Dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir Bersatu yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan baru-baru ini digunakan untuk membantu mangsa terlibat.

“Selain itu tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada persendirian dan para dermawan yang lain.

“Sekali lagi saya menyeru marilah sama-sama kita membantu dan menyumbang dalam apa cara dan bentuk sekali pun yang termampu bagi membantu mangsa bencana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Melalui media sosial itu juga, Muhyiddin mendoakan sukarelawan dan petugas barisan hadapan dapat meneruskan kerja-kerja murni itu.

“InsyaAllah anda semua akan dilindungi dan diberkati ALLAH SWT,” katanya.