Usahawan tawar khidmat retort percuma bantu mangsa banjir

Farhana menunjukkan makanan disumbang disimpan menggunakan mesin retort di MARA Halal Park, Kuala Perlis, Kangar di sini.
Farhana menunjukkan makanan disumbang disimpan menggunakan mesin retort di MARA Halal Park, Kuala Perlis, Kangar di sini.
A
A
A

KANGAR - Seorang usahawan menawarkan perkhidmatan retort secara percuma kepada mana-mana usahawan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyumbangkan makanan 'ready to eat' kepada mangsa terjejas ketika ini akibat banjir.

Menurut Farhana Zainuddin, 34, beliau mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan ini setelah melihat video tular yang memaparkan kanak-kanak terpaksa makan mi segera dengan bancuhan air mineral.

Beliau berkata, perkhidmatan itu juga ditawarkan bagi memastikan mangsa banjir di beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka dapat menikmati makanan yang dijamin bersih dan selamat.

"Selama ini, saya menggunakan mesin retort berkenaan untuk pemprosesan dadih jenama kami sendiri iaitu Dadih Marissa, namun mesin ini juga boleh memproses makanan menjadi makanan sedia dimakan.

"Tawaran perkhidmatan retort secara percuma ini dibuat sehingga pertengahan Januari 2022," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Farhana berkata, mesin berkenaan boleh memuatkan 500 pek makanan pada satu masa dan boleh mengeluarkan maksimum 2,000 pek dalam sehari.

"Dengan adanya produk retort ini, mangsa banjir boleh membuka bungkusan tersebut dan makan pada bila-bila masa tanpa perlu dipanaskan terlebih dahulu berbanding makanan yang lain," katanya.

Beliau yang merupakan salah seorang usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B-1 Kayang berkata, produk yang dikeluarkan dari mesin ini dapat bertahan selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Farhana berkata, pihaknya menghadapi sedikit kekangan iaitu kekurangan sumber tenaga kerja untuk menyediakan dan membungkus makanan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, ramai individu yang telah tampil menghubunginya untuk mendapatkan perkhidmatan retort sebelum makanan itu disumbangkan kepada mangsa banjir.

Oleh itu, beliau mempelawa mana-mana sukarelawan yang ingin menyumbang tenaga untuk memasak dan membungkus makanan mangsa banjir boleh menghubunginya di talian 019-4524610.