Lelaki ceroboh istana England jalani rawatan mental

Istana Windsor yang terletak di barat London diceroboh oleh sorang lelaki bersenjatakan busur panah pada Sabtu lalu. - Foto PA
Istana Windsor yang terletak di barat London diceroboh oleh sorang lelaki bersenjatakan busur panah pada Sabtu lalu. - Foto PA
A
A
A

LONDON - Seorang lelaki bersenjatakan busur panah yang memecah masuk Istana Windsor, barat London ketika pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II meraikan sambutan Krismas telah ditahan dan menjalani rawatan kesihatan mental, kata polis pada Ahad.

"Lelaki itu memasuki pekarangan (istana) namun dia tidak memasuki mana-mana bangunan," kata Polis Metropolitan London seperti dilaporkan oleh AFP.

Ketika kejadian, Ratu Elizabeth II sedang meraikan sambutan Hari Krismas di Istana Windsor bersama putera sulungnya yang juga pewaris takhta, Putera Charles dan isterinya Camilla.

Polis tempatan pada Sabtu menyatakan bahawa seorang lelaki berusia 19 tahun telah ditemui di pekarangan istana tersebut pada Hari Krismas.

Remaja itu ditangkap kerana disyaki melanggar atau menceroboh tempat yang dilindungi selain memiliki senjata.

Menurut Polis Metropolitan, lelaki itu ditahan dan menjalani penilaian kesihatan mental di bawah Akta Kesihatan Mental.

Akta Kesihatan Mental membenarkan pihak berkuasa di England dan Wales untuk menahan dan merawat mana-mana orang yang mempunyai masalah kesihatan mental tanpa persetujuan mereka.

Menurut dakwaan portal MailOnline, lelaki tersebut cuba untuk membunuh Ratu Elizabeth II bagi membalas dendam terhadap kejadian pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1919 di Amritsar, India. - Agensi

Artikel Berkaitan: