Bilangan mangsa banjir di Pahang tidak berubah

Penduduk setempat Nafi Yunus melihat air banjir yang di halaman rumahnya di Kampung Semangat hari ini. Foto Bernama
Penduduk setempat Nafi Yunus melihat air banjir yang di halaman rumahnya di Kampung Semangat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang masih kekal seperti malam Sabtu dengan 19,893 mangsa daripada 5,947 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua mangsa terlibat ditempatkan di 155 PPS yang masih lagi dibuka.

Menurutnya, bagaimanapun PPS terbabit hanya tertumpu kepada enam daerah iaitu Maran, Kuantan, Pekan, Bera, Temerloh dan Bentong.

"Daerah Temerloh mencatatkan jumlah paling tinggi di 41 PPS melibatkan seramai 9,400 mangsa daripada 2,742 keluarga diikuti Bentong, 3,718 mangsa (1,338 keluarga) di 18 PPS dan di Bera pula seramai 2,114 mangsa (602 keluarga) di 20 PPS.

"Seterusnya, daerah Pekan merekodkan mangsa seramai 1,717 mangsa daripada 556 keluarga di 21 PPS manakala seramai 431 keluarga membabitkan 1,498 mangsa berada di 28 PPS di Maran dan Kuantan pula 1,392 mangsa (354 keluarga) di sembilan PPS," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Che Adam memaklumkan, setakat ini sebanyak 18 kes kematian dilaporkan di seluruh Pahang.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes di Bentong, empat di Temerloh dan masing-masing dua di Kuantan dan Raub serta satu lagi di Pekan.

Sementara itu, beliau berkata, penutupan jalan turut membabitkan beberapa daerah iaitu Temerloh, Pekan, Maran dan Bera.

Artikel Berkaitan:

“Di Temerloh jalan yang masih ditutup antaranya Kuala Lumpur – Kuantan, Jalan Gemas – Temerloh, Jalan Temerloh – Mentakab, Jalan Bolok- Sok Mek, Jalan Utama Mempaga/Bukit Damar/Lakum, Jalan Kampung Gantok, Jalan Seberang Temerloh, Jalan Kampung Lipat Kajang, Jalan Teluk Ira-Rumpun Makmur, Jalan Simpang Songsang-Banga, Jalan Megat Segama, Jalan Alternatif Paya Luas – Paya Jauh, Jalan Kampung Belenggu, Jalan Bahagia – Belenggu halt, Jalan Batu Kapur – Sungai Buloh, Jalan Sanggang – Lubuk Kawah dan Jalan Jenderak Loop.

“Bagi penutupan jalan Maran membabitkan Jalan Pekan Sehari Kampung Awah, Jalan Kampung Wau /Kertau, Jalan Serengkam, Jalan Bukit Tajau-Bandar Pusat Jengka, Jalan Chenor Sekara Kening, Pejing, Jalan Masuk Kampung Paya Ladang dan Peijing manakala di Pekan hanya Jalan Teluk Ganchong Lepar, Jalan Pelak – Belimbing dan Jalan Mentiga Terapai.

“Sebanyak lapan jalan di Bera ditutup iaitu melibatkan Jalan Gemas-Temerloh, Jalan Bohor Bahru, Jalan Bukit Serdang, Jalan Kampung Menteri, Jalan Kuala Bera, Jalan Charuk Puting – Guai, Jalan Charuk Puting – Selindang dan Jalan Triang 1,” katanya.