Tiga penerjun berpotensi isi tempat Jun Hoong

Cheong Jun Hoong
Cheong Jun Hoong
A
A
A

TIGA penerjun dilihat berpotensi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform individu wanita selepas beliau digugurkan daripada skuad negara baru-baru ini.

Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen berkata, mereka adalah Nur Dhabitah Sabri selain dua penerjun berpotensi dari Sarawak, Kimberly Bong Qian Ping dan Elisha Rania Abrial Rajagopal.

‘Setakat ini kami hanya dapat Kimberly dan Elisha selain Dhabitah yang berminat untuk mencuba acara platform di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Chen berkata demikian berikutan laporan MS dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mencapai keputusan bersama untuk tidak memperbaharui kontrak Jun Hoong tahun depan.

Nur Dhabitah yang sering bertanding dalam acara 3m papan anjal bukannya asing dalam acara platform kerana beliau bersama penerjun berpengalaman Leong Mun Yee membawa balik pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Sementara Kimberly sebelum ini mewakili Malaysia dalam acara itu pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan menduduki tangga ke-10 keseluruhan dalam final selain daripada memenangi gangsa pada Grand Prix Terjun FINA 2016 di Australia.

Elisha pula, beliau bergandingan dengan Kimberly di dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak dan memperoleh emas dalam acara platform.

Chen berkata, beberapa siri keputusan yang mengecewakan daripada Jun Hoong sejak beliau memenangi pingat terakhir buat negara dalam 10m platform seirama wanita bersama ratu terjun, Pandelela Rinong pada Sukan Komanwel 2018 menyebabkan MS dan MSN menggugurkan beliau daripada skuad negara.

Artikel Berkaitan:

“Beliau tidak memberikan keputusan yang dikehendaki. Bukan hanya itu, faktor umur juga kerana Jun Hoong akan berusia 32 tahun, tahun depan. Beliau masih mengalami banyak kecederaan malah tidak dapat menghadiri satu latihan penuh," katanya.

Oleh itu, adalah sukar untuk memberikan justifikasi untuk memperbaharui kontrak atlet kelahiran Ipoh itu dan mengekalkannya di dalam skuad negara sementara penerjun lain menjalani latihan penuh di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalili di sini setiap hari.

Selain daripada Jun Hoong, Mun Yee juga tidak tersenarai dalam skuad negara dan penerjun veteran itu sebelum ini dilaporkan mahu bersara mulai tahun hadapan.

Pada masa sama, Chen memaklumkan mereka akan mencuba segalanya untuk memberi peluang kepada 18 perenang yang gagal mengekalkan tempat mereka dalam latihan sepenuh masa tahun hadapan.

Ini kata beliau akan memberikan mereka peluang untuk berlatih di Bukit Jalil kerana kebanyakan mereka mempunyai potensi untuk bertanding dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

Baru-baru ini, MSN menetapkan pencapaian di kejohanan terkemuka sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk para atlet kekal dalam program latihan di bawah MSN pada tahun hadapan.

Langkah MSN itu diambil selepas tiada lagi peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium selepas Sukan Olimpik dan Sukan Para Olimpik Tokyo 2020.

Ia menyaksikan hanya 288 atlet yang benar-benar layak akan dikekalkan untuk program latihan sepenuh masa menjelang tiga temasya sukan utama tahun depan, iaitu Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia di Hangzhou, China. - Bernama