Sila log masuk terlebih dahulu.

BAM struktur semula jurulatih, pemain

 Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bakal melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan dan pemain seawal minggu depan.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata perubahan itu dilakukan susulan prestasi tidak menentu ditampilkan skuad badminton kebangsaan pada sembilan kejohanan terakhir bermula dengan Piala Sudirman di Vantaa, Finland, September lepas.

"Anda akan melihat pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Datuk Kenny Goh dalam masa terdekat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat C&T termasuk kajian prestasi sepanjang 2021 minggu depan. Jadi, tunggu berita selanjutnya daripada kami,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Mohamad Norza sebelum itu menerima kunjungan sulung isteri Perdana Menteri yang juga Penaung baharu BAM, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini.

Berhubung desakan sesetengah pihak yang mahu beliau mengundurkan diri susulan prestasi menghampakan dalam sembilan kejohanan terakhir itu, Mohamad Norza berikrar akan terus memegang tampuk kepimpinan badan induk sukan itu selagi mendapat kepercayaan ahli jawatankuasa BAM.

"Saya sentiasa ada di sini selagi badan induk ini mahukan saya di sini...kami sebenarnya telah membuat kemajuan cuma cara tuntutan ramai orang tak sabar mahu pemain meningkatkan prestasi tetapi saya percaya kami akan memperbaikinya,” katanya yang dipilih semula sebagai Presiden BAM buat penggal kedua dari 2021-2025, pada April lepas.

Mengenai rumusan persembahan pemain pada tahun ini, beliau berpendapat 2021 menyaksikan BAM mempertaruhkan barisan pemain muda selepas mereka menyelaras semula barisan pemain sehinggakan ada antara mereka yang berhijrah menjadi pemain profesional.

Namun, beliau berkata percaturan itu ternyata kurang memberi impak besar apabila pemain muda dilihat mempunyai masalah konsistensi dari segi mental dan ketahanan sehingga mengakibatkan mereka sukar untuk mencapai kejayaan membanggakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan fokus utama BAM tahun depan adalah menurunkan bakat baharu bagi menggalas cabaran negara pada kejohanan tahap tertinggi selepas beberapa kategori dilihat berdepan kekangan kekurangan pemain yang boleh beraksi di peringkat berkenaan.

Katanya, antara pemain berpotensi diberi kepercayaan adalah tiga pemain perseorangan remaja lelaki, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh dan Leong Jun Hao; beregu muda lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri, serta lima perseorangan wanita yang dinaikkan pangkat ke skuad senior Oktober lepas seperti Joanne Ng dan Siti Nurshuhaini Azman.

Dalam pada itu, beliau berkata BAM akan menghantar skuad elit untuk membawa cabaran Malaysia di Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok, dan dua temasya sukan besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia Hangzhou, China manakala pasukan pelapis diberi peluang mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam. - Bernama