Banjir: Suasana jejambat Kampung Kebun Bunga bertukar pilu

Jejambat menjadi tempat teduh penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam pada Sabtu.
Jejambat menjadi tempat teduh penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana di bawah jejambat di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, di sini bertukar pilu apabila kawasan itu dijadikan tempat berteduh penduduk yang terjejas banjir, Sabtu lalu.

Detik yang diceritakan seorang penduduk yang dikenali sebagai Amir, 29, itu menggambarkan kepiluan penduduk akibat kediaman masing-masing ditenggelami air.

Menurutnya, air mula naik pada jam 3 petang dengan sangat laju.

"Masa itu memang tidak terjangka apabila air naik sangat laju. Kami sangka awalnya hanya banjir biasa. Lepas air naik dengan laju, keadaan kelam-kabut dan hanya fikir selamatkan orang tua dan kanak-kanak dulu.

Amir sibuk mengemaskan rumahnya di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam yang terjejas akibat banjir.
Amir sibuk mengemaskan rumahnya di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam yang terjejas akibat banjir.

"Ibu dan anak saudara saya semua selamat dan dibawa ke tempat pemindahan manakala saya dan abang terpaksa duduk di bawah jejambat.

"Bila semakin gelap, kawasan itu juga terus dipenuhi orang. Apa yang sedih, ada bayi, kanak-kanak dan orang tua berada di situ," katanya.

Tambahnya, keadaan di situ (jejambat) sangat menyedihkan, ada yang sekadar beralaskan plastik untuk berteduh.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kerana ada yang bagi sumbangan ubat nyamuk dan lilin masa itu. Masing-masing terpaksa berhimpit dan mengharap bantuan tiba," katanya.

Katanya lagi, dianggarkan seramai 300 orang yang terpaksa berteduh di kiri dan kanan jejambat.

"Ini adalah dugaan besar buat saya sekeluarga dan seluruh penduduk di sini. Kami sekeluarga berharap dapat teruskan kehidupan dengan lebih baik dan kejadian yang melanda ini ada hikmahnya. Insya-ALLAH," katanya.