Dua atlet gimnastik lelaki raih pingat perak di Mesir

Ng Shu Liang - Foto fail Bernama
Ng Shu Liang - Foto fail Bernama
A
A
A
DUA atlet gimnastik artistik lelaki meraih pingat perak selepas mereka mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan Egyptian Pharaohs Cup 2021 di Mesir pada 19 Disember lepas.

Ng Chun Chen dan Shahrul Aimy Kamarul masing-masing memenangi acara palang sejajar (parallel bars) dan melombol (vault), yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Disember.

Jurulatih gimnastik artistik lelaki Ng Shu Liang memberitahu Bernama, beliau tidak terkejut kerana telah menjangkakan anak buahnya tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Mereka menang kerana mereka memang bagus. Sebenarnya saya telah latih mereka sejak berusia 10 tahun tetapi kemudian mereka telah dilatih oleh jurulatih lain dan sekarang mereka menjalani latihan di bawah bimbingan saya,” katanya apabila dihubungi.

Shu Liang berkata, mereka bertiga kini sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga 27 Dis (Isnin) dan akan menyambung kembali latihan awal tahun depan.
Artikel Berkaitan:


"Kami akan berehat meluangkan masa bersama keluarga mungkin beberapa hari dan akan menyambung latihan (awal) tahun depan kemungkinan besar,” katanya.

Ditanya mengenai misi mereka pada tahun depan, Shu Liang memberitahu mereka akan memberi tumpuan kepada empat acara utama - Sukan Malaysia (Sukma), Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. - Bernama