Anak paus ditemui terdampar di Pantai Merchang

Abd Latif bersama anak ikan paus yang ditemui terdampar di Pantai Merchang, di sini pada Rabu. -Foto: Ihsan Facebook Abd Latif
Abd Latif bersama anak ikan paus yang ditemui terdampar di Pantai Merchang, di sini pada Rabu. -Foto: Ihsan Facebook Abd Latif
A
A
A

MARANG - Beberapa kakitangan sebuah resort persendirian yang sedang bersiar-siar di Pantai Merchang, di sini terkejut apabila menemui seekor anak ikan paus terdampar di pantai itu pada Rabu.

Penemuan kira-kira jam 10 pagi itu kemudian dimaklumkan kepada pemilik resort, Abd Latif Jamaludin yang bergegas ke lokasi tersebut untuk memastikan kesahihan maklumat kakitangannya.

Menurut Abd Latif, selepas melihat sendiri anak ikan paus itu, pihaknya menghubungi Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun dan mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan anak ikan paus tersebut.

"Ketika saya tiba di pantai, anak ikan paus itu masih hidup lagi kerana matanya dilihat berkelip, namun keadaan fizikalnya sangat lemah dan tidak bermaya.

"Saya bersama beberapa kakitangan, pengunjung resort dan orang kampung cuba menolak haiwan itu untuk kembali ke arah laut, namun ia terlalu lemah untuk berenang jauh lalu kembali terdampar di pantai," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, cubaan kakitangan Jabatan Perikanan menolak anak ikan paus yang dianggarkan seberat hampir satu tan itu juga tidak membuahkan hasil sebelum haiwan marin tersebut dibawa menaiki kenderaan FRI menggunakan pengusung.

"Anak ikan paus ini adalah penemuan kali kedua kerana kita pernah menemui bangkai paus di lokasi sama pada tahun 2017," katanya.

Sementara itu, Pengarah FRI Rantau Abang Sharum Yusof ketika dihubungi pemberita berkata, anak ikan paus itu masih hidup ketika ditemui di pantai tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Namun, disebabkan keadaan yang terlalu lemah, ia gagal diselamatkan dan bangkainya kini ada di FRI Rantau Abang untuk siasatan lanjut," katanya.