Tiada jalan ditutup di Sepang, penduduk bimbang air kembali naik

Seorang kanak-kanak merenung dari luar tingkap semasa tinjauan di PPS mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang pada Rabu. - Foto Bernama
Seorang kanak-kanak merenung dari luar tingkap semasa tinjauan di PPS mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Tiada lagi jalan raya di Sepang ditutup akibat terjejas banjir manakala penduduk di kawasan yang masih digenangi air masih dibelenggu kerisauan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ekoran banjir pada 18 Disember lalu beberapa laluan utama di daerah Sepang terpaksa ditutup kerana dinaiki air antaranya Jalan Kota Warisan menghala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jalan Labu Lanjut, Jalan Bukit Changgang, Jalan Salak dan Jalan Kampung Ginching.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi pada Rabu mengesahkan tiada lagi jalan raya ditutup dan jalan di Simpang Kewa dan Simpang Semarang juga telah kembali dibuka kepada semua kenderaan sejak Selasa.

Tinjauan di beberapa laluan seperti Jenderam, Kota Warisan dan jalan menghala Banting dan Dengkil yang sebelum ini ditutup kerana dinaiki air telah boleh dilalui kenderaan, namun keadaan jalannya kelihatan kotor dan berlumpur.

Wan Kamarul Azran berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang meningkatkan pemantauan terhadap banyak kereta yang tersadai akibat banjir bagi mengelakkan kes curi kenderaan.

Dalam pada itu, tinjauan di Kampung Sri Tanjung, Dengkil mendapati kawasan tersebut masih mengalami banjir genang atau dikenali sebagai ‘banjir termenung’ yang airnya tidak surut walaupun cuaca panas selama dua hari hingga menimbulkan kerisauan penduduk perkampungan itu dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Azlimi Ayub, 40, berkata, kawasan itu berisiko untuk dinaiki air semula kerana terletak berhampiran Sungai Langat.

"Naik seriau dengan cuaca mendung hari ini. Tengok langit gelap macam nak hujan memang buat saya risau sebab paras air setinggi lutut masih tidak surut sejak dua hari lepas walaupun cuaca elok. Dengan air termenung ini memang risiko air akan melimpah jika hujan lebat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk kelihatan berusaha kembali ke rumah dengan meredah air setinggi paras lutut untuk melihat kerosakan harta benda.

Kebanyakan rumah diselaputi selut dan lumpur serta barangan elektrik, perabot dan sampah kelihatan terapung. - Bernama