Bawa masuk semula Yew Sin-Ee Yi

Yew Sin dan Ee Yi mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol. -Foto: Photo Badminton
Yew Sin dan Ee Yi mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol. -Foto: Photo Badminton
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) disaran kembali membawa masuk beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menampilkan peningkatan prestasi tahun ini.

Bekas jaguh negara, Roslin Hashim berkata, BAM wajar mempertimbangkan untuk 'melamar' semula Yew Sin-Ee Yi selepas mereka menjelmakan keputusan positif dalam beberapa kejohanan.

“Jika dulu mereka dikeluarkan daripada BAM sebab prestasi kurang memberangsangkan. Jadi saya kira mungkin mereka boleh diserap semula selepas menampilkan prestasi menakjubkan sehingga memperoleh gangsa Kejohanan Dunia baru-baru ini.

“Sebab saya lihat kehadiran semula Yew Sin dan Ee Yi ini mampu memperkuatkan barisan beregu negara, ditambah pula sekarang Rexy Mainaky yang ditugaskan untuk memantau beregu negara.

“Jika mereka kembali ke BAM, ini akan mewujudkan suasana positif yang mana barisan pemain beregu negara akan dapat rakan sparring terbaik, sekali gus mampu menaikkan lagi kualiti sedia ada,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol yang berakhir Ahad lalu, Yew Sin-Ee Yi berjaya menamatkan kemarau 11 tahun pingat Malaysia dalam acara beregu lelaki selepas membawa pulang gangsa.

Yew Sin-Ee Yi hampir berjaya melangkah ke pentas final sebelum langkah mereka disekat gandingan nombor empat dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di separuh akhir.

Sejak digugurkan daripada BAM pada awal tahun lalu, Yew Sin-Ee Yi berjaya menunjukkan peningkatan luar biasa apabila berjaya mara ke separuh akhir Indonesia Masters dan Final Jelajah Dunia BWF di Bali, Indonesia awal bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, gandingan tersebut juga tidak pernah terlepas tiket sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir pada Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Indonesia tahun ini.

“Saya harus memberi pujian kepada mereka atas semangat positif yang ditunjukkan sejak keluar daripada BAM. Walaupun bukan lagi di bawah BAM tetapi mereka berjaya menampilkan persembahan yang hebat.

“Jadi saya rasa pencapaian Yew Sin dan Ee Yi mugkin boleh dijadikan contoh buat barisan pemain profesional lain untuk beraksi lebih cemerlang pada kejohanan yang bakal mereka sertai,” ujarnya.