SKMM terima lebih 1,800 aduan penipuan

Zahidi Zainul Abidin - Foto Bernama
Zahidi Zainul Abidin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 1,865 aduan berhubung penipuan termasuk penggunaan akaun media sosial dan laman sesawang palsu bagi tujuan love scam sejak Januari hingga Oktober lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, bagi membanteras jenayah tersebut dan melindungi pengguna internet dalam negara, Polis Diraja Malaysia dan SKMM telah menubuhkan Jawatankuasa Induk PDRM-SKMM.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan menyelaras dan memastikan tindakan penguatkuasaan melibatkan kedua-dua agensi dapat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan termasuk dari segi tindakan siasatan, operasi, pencegahan serta pentadbiran.

“Kegiatan penipuan atau scam sama ada secara dalam talian ataupun luar talian adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia atau agensi-agensi lain berdasarkan kepada jenis penipuan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Sementara itu, Zahidi memberitahu, sebanyak 239 lesen Pemberi Kemudahan Rangkaian dan 173 lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian telah dikeluarkan sehingga kini bagi membolehkan pemegang lesen berkenaan membina infrastruktur komunikasi yang menawarkan perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya Allo Technology Sdn Bhd telah menggunakan infrastruktur milik TNB bagi menyediakan liputan gentian optik berkelajuan tinggi kepada melebihi 73,000 premis di Melaka dan Perak,” katanya.

Tambah beliau, pihak Allo merancang untuk meluaskan lagi rangkaian perkhidmatan ke Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Johor.

Artikel Berkaitan:

Bagi negeri-negeri lain pula, Zahidi berkata perancangan dan kajian akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan lebih banyak premis mendapat akses kepada rangkaian gentian optik. - Bernama