MOSTI aktifkan 20 dron bantu bencana banjir

Dr Adham menunjukkan gambar keadaan banjir yang dirakam melalui dron pada sidang media selepas pelancaran produk teknologi hijau DeScale pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Adham menunjukkan gambar keadaan banjir yang dirakam melalui dron pada sidang media selepas pelancaran produk teknologi hijau DeScale pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 20 dron berkuasa tinggi akan digerakkan bagi tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting ke kawasan bencana banjir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mendapat kerjasama daripada lima syarikat swasta untuk membekalkan 20 dron itu yang akan dikendalikan oleh Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron).

"Dron ini bukan sahaja boleh memantau dan mencari mangsa banjir yang mungkin terperangkap, tetapi juga keadaan jalan raya atau tebing seperti tanah runtuh yang mungkin terkesan akibat bencana ini," katanya kepada akhbar selepas melancarkan Produk Teknologi Hijau DeScale, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menerbangkan dron berkenaan secepat mungkin bagi membantu usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bantuan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menilai keadaan semasa dengan lebih tepat di kawasan terjejas banjir.

Dr Adham berkata, dron akan memudah cara akses kepada visual dari udara (aerial view) bagi membantu agensi berkaitan dan pihak terbabit menyampaikan perkhidmatan kecemasan kepada mangsa banjir yang terkandas dan tiada akses kepada rangkaian komunikasi.

Beliau berkata, dron berteknologi tinggi itu boleh membawa muatan hingga 10 kilogram untuk setiap penghantaran dan melakukan penghantaran bekalan asas khususnya ubat dan makanan, terutamanya di kawasan yang sukar dicapai.

Mengenai cerapan imej satelit, Dr Adham berkata, sehingga Isnin, kawasan yang digenangi air di Taman Sri Muda dan Seksyen 24, Shah Alam, Selangor menunjukkan pengurangan kira-kira 60 peratus berbanding Sabtu lepas, dan kawasan liputan banjir berkurangan daripada 5.1 kilometer persegi kepada kira-kira 2.1 kilometer persegi.

"Cerapan imej satelit di Pahang pula menunjukkan peningkatan kawasan yang digenangi air," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: