Sumbang RM20,000 kepada mangsa banjir Selangor

Syarifah Maznah (tengah) bersama barisan Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah selepas mesyuarat di Bangunan UMNO Kedah di Alor Setar, pada Selasa.
Syarifah Maznah (tengah) bersama barisan Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah selepas mesyuarat di Bangunan UMNO Kedah di Alor Setar, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah mengumpul sumbangan sebanyak RM20,000 untuk membantu meringankan beban mangsa banjir di Selangor.

Pesuruhjaya Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim berkata, 15 bahagian UMNO di seluruh negeri ini bersetuju untuk menyumbang RM1,000 setiap bahagian manakala tambahan sebanyak RM5,000 diberikan oleh pengurusan di peringkat negeri.

Menurutnya, sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Skuad Sayang Wanita UMNO Selangor pada Jumaat untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas.

"Kami terpanggil untuk membantu mangsa banjir di Selangor selepas mereka ditimpa musibah bencana alam ini.

"Sebelum ini, tragedi kepala air di Yan menyaksikan mereka turut turun membantu mangsa dan kali ini giliran kita pula untuk membantu mereka di Selangor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan UMNO Kedah di Alor Setar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, Syarifah Maznah berkata, selain bantuan wang tunai, ahli Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah juga akan turun membantu secara berperingkat untuk bergotong-royong membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

"Kami amat memahami dugaan dihadapi mangsa di Selangor termasuk dari segi keperluan harian kerana di Kedah juga selalu berlaku bencana banjir.

Artikel Berkaitan:

"Bagi memudahkan urusan, maka kami memilih untuk memberi wang tunai dan Skuad Sayang di sana akan tentukan apa yang perlu dibeli untuk diagihkan kepada mangsa," ujarnya.