Polis Evo 2 kutip RM17 juta dalam masa 11 hari

No Image Caption
A
A
A

FILEM bercorak kepolisan, Polis Evo 2 terus mencatatkan rekod yang membanggakan apabila sudah mengutip RM17 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

Berita gembira itu turut dikongsikan pelakon utama filem berkenaan, Shaheizy Sam menerusi akaun Instagram miliknya.

"Alhamdulillah hasil sokongan anda semua, Polis Evo 2 meraih kutipan RM17 juta dalam tempoh 11 hari tayangan. Jom kita buktikan yang filem tempatan juga mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

"Terima kasih boh! Jom kita ke balai pawagam yang berdekatan dan semarakkan semangat Polis Evo 2," tulisnya.

Polis Evo 2 yang diarahkan Joel Soh dan Andre Chiew ini ditayangkan di 146 buah pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Filem ini menyaksikan gandingan kali kedua Sam bersama Zizan Razak dan turut dijayakan oleh pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Hairul Azreen, Hasnul Rahmat, Shafie Naswip, Riz Amin, Erra Fazira, Raline Shah dan ramai lagi.

Sudah mula ditayangkan sejak 22 November lalu, ia mengisahkan kisah Inspektor Sani dan Khai kini terlibat dalam sebuah misi pengintipan di sebuah pulau terpencil di pantai timur.

Suasana bertukar keruh apabila sekumpulan pengganas yang diketuai oleh Hafsyam Jauhari menyerang dan menawan pulau tersebut.

Sani ditahan oleh kumpulan pengganas itu bersama dengan 200 orang kampung yang dijadikan tebusan, manakala Khai pula terperangkap di kawasan kampung. Sani cuba melawan ketua kumpulan pengganas itu dari dalam tempat tahanan selepas menyaksikan sendiri keganasan kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:


Khai pula berjaya menemui seorang polis perisik dari Indonesia dan 4 orang anggota pasukan khas yang dihantar oleh kerajaan Malaysia.

Mereka bertujuh ini bersama-sama menyahut cabaran yang paling getir dalam kerjaya mereka sebagai polis untuk menumpaskan Hafsyam Jauhari bersama kumpulannya dan menyelamatkan lebih 200 tebusan di pulau itu.