Pahang, negeri utara semenanjung berpotensi hujan lebat hingga esok

Penduduk setempat, Mohd Isa Shaarani, 51, melihat sekeliling rumahnya yang terjejas akibat banjir di Kampung Batu 8 Changkat Jong, Teluk Intan, Perak hari ini. - Foto Bernama
Penduduk setempat, Mohd Isa Shaarani, 51, melihat sekeliling rumahnya yang terjejas akibat banjir di Kampung Batu 8 Changkat Jong, Teluk Intan, Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa kawasan di Pahang dan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia masih berpotensi mengalami hujan lebat sehingga esok.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Fariza Yunus bagaimanapun berkata, keadaan cuaca dijangka beransur pulih di Kelantan, Terengganu, Selangor dan selatan Semenanjung Malaysia.

“Amaran cuaca hujan berterusan yang dikemas kini setakat jam 11 pagi Ahad ditamatkan untuk negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Keadaan cuaca di beberapa daerah di Selangor sebelum ini pada peringkat amaran bahaya tetapi diturunkan ke peringkat waspada,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau memaklumkan, keadaan cuaca dijangka bertambah baik apabila dijangka pada Isnin, sistem cuaca tekanan rendah akan bergerak dari rantau negara menuju ke Laut Andaman.

Ujarnya, hujan lebat berterusan yang berlaku sejak 12 Disember lalu dan berterusan sehingga kini disebabkan oleh luruan monsun dan kewujudan sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di Laut China Selatan.

“Sistem ini mencapai tahap lekukan tropika yang memasuki Pahang pada lewat malam 16 Disember lalu.

“Pergerakan sistem ini ke arah barat merentasi Semenanjung Malaysia dan menyebabkan peningkatan kelembapan hingga berlaku hujan lebat berterusan di hampir keseluruhan Semenanjung," katanya.

Artikel Berkaitan: