X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

PM umum cuti untuk mangsa banjir, bantuan 1,000 untuk isi rumah

Antara perabot dan perkakas rumah rosak selepas ditenggelami air akibat dilanda banjir ekoran hujan lebat yang berterusan ketika tinjauan di Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberikan cuti kecemasan kepada kakitangan-kakitangan awam yang terjejas akibat banjir bermula Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cuti kecemasan tersebut turut diberikan kepada penjawat awam negeri dan menyarankan supaya majikan syarikat berbuat demikian untuk membantu pekerja yang terkesan akibat insiden tersebut.

Menurutnya, ketua jabatan atau majikan boleh berunding dengan pekerja terbabit berkenaan tempoh cuti kecemasan yang akan diberikan.

Tambahnya, beliau turut berharap Menteri-menteri Besar di negeri lain yang terjejas akibat banjir juga memberikan cuti kecemasan kepada semua penjawat awam seperti yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan.

"Majikan syarikat swasta yang ingin memberikan cuti kepada pekerja perlu mengikuti dua syarat ini, iaitu cuti tersebut tidak boleh ditolak daripada jumlah cuti tahunan dan tidak boleh melakukan potongan gaji.

"Saya harap bila mereka balik rumah untuk selesaikan cuci rumah, bolehlah bekerja semula," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, majikan tidak berhak untuk memaksa pekerja hadir bertugas sekiranya mereka terkesan dengan bencana banjir dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ujarnya, tidak adil untuk mereka datang bekerja ke pejabat apabila mereka terpaksa berpindah ke PPS sehelai sepinggang dan mungkin ada anak kecil di pusat tersebut.

"Saya minta industri di Selangor, sekiranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memaklumkan kepada mereka untuk beri cuti kerana kalau pekerja duduk di PPS sehelai sepinggang, nak pergi kerja macam mana? Anak kecil pun mungkin ada di situ jadi tak adil.

"Dari segi keadilan, saya minta majikan swasta beri cuti tanpa memotong cuti tahunan dan gaji.

"Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan supaya pihaknya berbincang dengan dengan para majikan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.

Ujarnya, pemberian Bantuan Wang Ehsan 2021 yang diumumkan pada September lalu juga dipercepatkan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.

"Seperti yang sedia maklum, kerajaan pada September lalu telah meningkatkan kadar Bantuan Wang Ehsan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah.

"Kita akan mempercepatkan bayaran bantuan tersebut pada kawasan banjir seperti Selangor dan enam negeri yang lain.

"Itu antara bantuan yang kita akan berikan dengan segera untuk mengurangkan bebanan kepada mangsa-mangsa banjir ini," katanya.

Turut hadir ketika mesyuarat khas di sini ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, dan Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!