Lima daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat

Jalan Sendayan-Jimah yang ditutup kedua-dua arah berikutan tanah runtuh
Jalan Sendayan-Jimah yang ditutup kedua-dua arah berikutan tanah runtuh
A
A
A

SEREMBAN - Hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak malam Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di lima daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, lima daerah berkenaan iaitu Seremban, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.

Menurutnya, setakat ini tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Surau Kampung Keru Hilir, Tampin dan tiga di Port Dickson iaitu di Kampung Permatang Pasir, balai raya Kampung Linggi dan balai raya Kampung Jimah Lama.

"Di PPS di Tampin sembilan keluarga membabitkan 36 mangsa termasuk 13 kanak-kanak dan seorang bayi berumur lapan bulan.

"Bagi tiga PPS di daerah Port Dickson, terdapat 158 mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Jelas beliau, beberapa mangsa yang terpaksa dipindahkan memilih untuk tinggal di surau berhampiran dan rumah ahli keluarga terdekat.

Selain itu katanya, Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau di Seremban dibuka sebagai PPS sebagai langkah bersiap sedia.

"Daerah Port Dickson paling banyak kawasan terjejas antaranya Kampung Paya, Tanah Merah Site C, Kampung Sri Parit, Pekan Lukut, Kampung Arab, Batu 7 Lukut, Jalan Bukit Palong dan Kampung Jimah Lama.

Artikel Berkaitan:

"Bagi daerah Seremban iaitu Kampung Siliau, Sega Hilir, Kuala Sawah dan Linsum.

"Di daerah Tampin pula iaitu Kampung Keru Hilir dan Kampung Dusun manakala di daerah Rembau kawasan terjejas ialah Kampung Batu 2 Pedas dan di daerah Kuala Pilah iaitu Rumah Rakyat Kuala Johol," katanya.

Tambah beliau, Jalan Sendayan-Jimah terpaksa ditutup dari kedua-dua arah bagi semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh.

Mohd Syukri berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari masa ke masa dan difahamkan setakat jam 9 pagi ini kebanyakan kawasan banjir kilat sudah surut.