Warga emas dicari kes penipuan tanah libat kerugian RM22 juta

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis sedang mencari seorang warga emas bagi membantu siasatan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan kerugian berjumlah RM22 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki dikenali sebagai Chua Seng Keat, 61, yang alamat terakhirnya di Kota Damansara, Petaling Jaya untuk tampil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, ia susulan aduan daripada seorang ahli perniagaan yang mendapati tanah yang didaftarkan di atas nama syarikatnya telah ditukar milik kepada seorang individu tidak dikenali selepas membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian di Wisma Negeri Sembilan pada 15 Oktober tahun lalu.

"Individu tersebut telah membuat tandatangan palsu di dalam dokumen-dokumen berkaitan ke atas pertukaran tanah tersebut tanpa pengetahuan daripada pengadu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM22 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: