Gangguan bekalan air dijangka pulih malam ini

Air Selangor turut memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Air Selangor turut memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemulihan bekalan air di 463 kawasan terjejas mencapai tahap 12 peratus pada jam 6 pagi dan dijangka pulih sepenuhnya jam 11.30 malam pada Jumaat.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan tempoh pemulihan bekalan air berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 11.30 malam, 17 Disember.

"Status pemulihan kawasan yang terjejas juga boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com," kata kenyataan itu.

Pada Khamis, sebanyak 463 kawasan di lima daerah itu mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan operasi.

Lima wilayah Air Selangor terbabit ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Dalam pada itu, Air Selangor berharap pengguna yang menerima bekalan air dapat menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel Berkaitan:

"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," kata kenyataan itu.