Banjir: Bomba Jeli pantau sungai

Tinjauan dilakukan Bomba Jeli pada pagi Jumaat di Jambatan Sungai Ayer Lanas di sini mendapati air berada dalam keadaan trend menaik. -Foto JBPM Jeli
Tinjauan dilakukan Bomba Jeli pada pagi Jumaat di Jambatan Sungai Ayer Lanas di sini mendapati air berada dalam keadaan trend menaik. -Foto JBPM Jeli
A
A
A

JELI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli menasihatkan penduduk di kawasan rendah sentiasa bersedia jika diarahkan berpindah berikutan kenaikan air di tiga sungai utama di jajahan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pemantauan pada jam 11 malam Khamis mendapati air di tiga sungai iaitu Kampung Batu Melintang, Sungai Pergau, dan Ayer Lanas menunjukkan trend menaik.

“Kita bersiap siaga untuk bertindak jika berlaku sebarang kemungkinan. Kami juga berharap penduduk memberi kerjasama jika diminta meninggalkan rumah untuk keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, tinjauan pada awal pagi Jumaat juga mendapati sungai di Kampung Sungai Satan juga sudah melimpahi beberapa kawasan sekitar dan ada yang sudah tidak boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal.

Selain itu katanya, air sungai di Jambatan Sungai Ayer Lanas juga menunjukkan trend menaik pagi Jumaat walaupun hanya mengalami hujan di beberapa tempat.

“Penduduk juga dinasihatkan menjaga penjarakkan sosial dan memakai pelitup muka sepanjang operasi pemindahan,” katanya.

Berdasarkan maklumat laman sesawang publicinfo.banjir, sehingga jam 9 pagi Jumaat, tiga sungai utama masih di paras normal iaitu Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah mencatatkan bacaan 34.47 meter, Sungai Pergau di Air Bol pula 69.83 meter manakala Sungai Lanas di Ayer Lanas pula 25.04 meter.

Artikel Berkaitan: