4 individu disyaki bunuh pekerja syarikat insurans didakwa esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki dan seorang wanita yang disyaki membunuh seorang lelaki susulan penemuan satu rangka manusia dalam semak berhampiran kawasan Gadong, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor, pada 2 Disember lepas akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kesemua rakyat tempatan yang berumur antara 25 hingga 51 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Menurut Nanda, kejadian dipercayai bermotifkan peras ugut itu bermula pada 12 November lepas, apabila seorang pekerja insurans berusia 44 tahun di sini membuat laporan polis selepas gagal menghubungi suaminya yang turut bekerja di syarikat sama, sejak keluar berseorangan dengan menaiki kenderaan jenis Honda CRV pada hari sama.

“Lima hari kemudian (16 November), kenderaan mangsa ditemukan di tepi Jalan Permata Kiri Kampung Olak Lempit, Banting Selangor dalam keadaan berkunci, namun mangsa tiada di lokasi.

“Bagaimanapun, pada 2 Disember lepas, polis menemui satu rangka manusia dalam semak berhampiran kawasan Gadong, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor yang dipercayai milik mangsa dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis malam.

Beliau berkata, siasatan lanjut membawa kepada penangkapan empat suspek berkenaan dan jika sabit kesalahan kesemua mereka boleh dihukum gantung sampai mati. - Bernama

Artikel Berkaitan: